Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bertepatan tahun
699 Masehi di sebuah kota bernama Kufah. Nama yang sebenarnya ialah
Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha. Kemudian masyhur dengan gelaran
Imam Hanafi. Imam Abu Hanafih adalah seorang imam Mazhab yang besar
dalam dunia Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam
Hanafi yang bukan orang Arab. Beliau keturunan Persia atau disebut juga
dengan bangsa Ajam. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang
lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi SAW.
Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:
1. Kerana ia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka ia diberi julukan dengan Abu Hanifah.
2. Kerana semenjak kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati setiap
yang dipelajarinya, maka ia dianggap seorang yang hanif
(kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya ia masyhur dengan
gelaran Abu Hanifah.
3. Menurut bahasa Persia, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi sangat
rajin menulis hadith-hadith, ke mana, ia pergi selalu membawa tinta.
Kerana itu ia dinamakan Abu Hanifah.
Waktu ia dilahirkan, pemerintahan Islam berada di tangan Abdul Malik
bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah kelima. Kepandaian Imam Hanafi
tidak diragukan lagi, beliau mengerti betul tentang ilmu fiqih, ilmu
tauhid, ilmu kalam, dan juga ilmu hadith. Di samping itu beliau juga
pandai dalam ilmu kesusasteraan dan hikmah.
Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan soleh,
seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau
berdoa matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredhaan Allah
SWT. Walaupun demikian orang-orang yang berjiwa jahat selalu berusaha
untuk menganiaya beliau.
Sifat keberanian beliau adalah berani menegakkan dan mempertahankan
kebenaran. Untuk kebenaran ia tidak takut sengsara atau apa bahaya yang
akan diterimanya. Dengan keberaniannya itu beliau selalu mencegah
orang-orang yang melakukan perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Hanafi
kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan
itu saja yang akan merasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk
orang-orang yang baik yang ada di tempat tersebut
Sebahagian dilukiskan dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bahawa bumi
ini diumpamakan sebuah bahtera yang didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan
pertama adalah terdiri orang-orang yang baik-baik sementara kumpulan
kedua terdiri dari yang jahat-jahat. Kalau kumpulan jahat ini mahu
merosak bahtera dan kumpulan baik itu tidak mahu mencegahnya, maka
seluruh penghuni bahtera itu akan binasa. Tetapi sebaliknya jika
kumpulan yang baik itu mahu mencegah perbuatan orang-orang yang mahu
membuat kerosakan di atas bahtera itu, maka semuanya akan selamat.
Sifat Imam Hanafi yang lain adalah menolak kedudukan tinggi yang
diberikan pemerintah kepadanya. Ia menolak pangkat dan menolak wang yang
dibelikan kepadanya. Akibat dari penolakannya itu ia ditangkap dan
dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara ia diseksa, dipukul dan
sebagainya.
Gubernur di Iraq pada waktu itu berada di tangan Yazid bin Hurairah
Al-Fazzari. Selaku pemimpin ia tentu dapat mengangkat dan memberhentikan
pegawai yang berada di bawah kekuasaannya. Pernah pada suatu ketika
Imam Hanafi akan diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara
(Baitul mal), tetapi pengangkatan itu ditolaknya. Ia tidak mahu menerima
kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Gabenor Yazid
menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.
Pada waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan pangkat Kadi (hakim)
tetapi juga ditolaknya. Rupanya Yazid tidak senang melihat sikap Imam
Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi memusuhi pemerintah, kerana itu
timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu ia diselidiki dan diancam akan
dihukum dengan hukum dera. Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman
hukum dera itu Imam Hanafi menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan
mengerjakan jabatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh
oleh pihak kerajaan.” Demikian beraninya Imam Hanafi dalam menegakkan
pendirian hidupnya.
Pada suatu hari Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqih yang
terkemuka di Iraq, dikumpulkan di muka istananya. Di antara mereka yang
datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila. Ibnu Syblamah, Daud bin Abi
Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi
oleh Gabenor.
Ketika itu gabenor menetapkan Imam Hanafi menjadi Pengetua jawatan
Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar
masuk wang negara. Gabenor dalam memutuskan jabatan itu disertai dengan
sumpah, “Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat itu nescaya ia akan
dihukum dengan pukulan.”
Walaupun ada ancaman seperti itu, Imam Hanafi tetap menolak jawatan
itu, bahkan ia tetap tegas, bahawa ia tidak mahu menjadi pegawai
kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.
Kerana sikapnya itu, akhirnya ditangkap oleh gabenor. Kemudian
dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, dengan tidak dipukul.
Lima belas hari kemudian baru dipukul sebanyak 14 kali pukulan, setelah
itu baru dibebaskan. Beberapa hari sesudah itu gabenor menawarkan
menjadi kadi, juga ditolaknya. Kemudian ditangkap lagi dan dijatuhi
hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari didera sebanyak sepuluh kali
pukulan. Namun demikian Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sampai
ia dilepaskan kembali setelah cukup 110 kali cambukan.
Walaupun demikian ketika Imam Hanafi diseksa ia sempat berkata.
“Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat
nanti.” Ketika ia berusia lebih dari 50 tahun, ketua negara ketika itu
berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Hanafi juga menerima ujian.
Kemudian pada tahun 132 H sesudah dua tahun dari hukuman tadi terjadilah
pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan
Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah.
Pada tahun 132 H sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan
ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda dari
Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56
tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani. Ahli
fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.
Suatu hari Imam Hanafi mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di
Baghdad, supaya ia datang mengadap ke istana. Sesampainya ia di istana
Baghdad ia ditetapkan oleh baginda menjadi kadi (hakim) kerajaan
Baghdad. Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya:
“Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam
Hanafi “Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada
saya membayar sumpah saya.”
Kerana ia masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal
untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad.
Pada saat itu para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah
satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak
pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota
Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi itu, Imam Abi Laila pun dilarang
memberi fatwa.
Pada suatu hari Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana mendapat
panggilan dari Al-Mansur, tetapi ia tetap menolak. Baginda bertanya,
“Apakah engkau telah suka dalam keadaan seperti ini?”
Dijawab oleh Imam Hanafi: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin.
Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu dalam
kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah saya
bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana
saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya
diberi jawatan itu.”
Baginda berkata lagi: “Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang
jawatan itu.” Dijawab oleh Imam Hanafi: “Amirul Mukminin, sungguh
baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan
bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka
bagaimana baginda akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah
oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan
hakim seperti saya.”
Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga
orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats
Tauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka
ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam
kenegaraan, masing-masing diberi surat pelantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tauri diangkat menjadi kadi di Kota Basrah, lmam
Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota. Adapun Imam Hanafi tidak mahu
menerima pengangkatan itu di manapun ia diletakkan. Pengangkatan itu
disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima
jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.
Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu
menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga
tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri.
Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara
dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera. Setiap pagi dipukul dengan
cambuk sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.
Suatu kali Imam Hanafi dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah
tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Ia
dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi
kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan
menderita di penjara ketika itu ia berusia 70 tahun.
Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh kerajaan daulah
Umaiyyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak sesuai dengan corak
pemerintahan yang mereka kendalikan. Oleh sebab itu mereka berusaha
mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka,
dan akhirnya mereka seksa hingga meninggal, kerana Imam Hanafi menolak
semua tawaran yang mereka berikan.
Sepanjang riwayat hidupnya, beliau tidak dikenal dalam mengarang
kitab. Tetapi madzab beliau Imam Abu Hanifah atau madzab Hanafi disebar
luaskan oleh murid-murid beliau. Demikian juga fatwa-fatwa beliau
dituliskan dalam kitab-kitab fikih oleh para murid dan pengikut beliau
sehingga madzab Hanafi menjadi terkenal dan sampai saat ini dikenal
sebagai salah satu madzab yang empat. Di antara murid beliau yang
terkenal adalah Muhammad bin Al-Hassan Al-Shaibani, yang merupakan guru
dari Imam Syafi’iy.
sumber: http://www.geocities.com/Athens/Acropolis/9672/imam4.htm
http://www.kisah.web.id/tokoh-islam/imam-abu-hanifah-80-150-h.html
Tidak ada komentar:
Posting Komentar